Gambar Ayu Raudhah Ditegur Peminatnya

Gambar Ayu Raudhah Ditegur Peminatnya: Kelmarin 13 september 2012, pihak buahmulut telah memuatnaik beberapa keping gambar Ayu Raudhah dalam Majlis Pratonton filem Tiga Hari lakonan Ayu Raudhah, Afdlin Shauki, Shidi dan Vanida Imran.

Gambar tersebut telah mencetuskan kontroversi apabila Ayu yang kini imej bertudung dilihat tampil ke majlis tersebut dengan menampakkan pakaian dalam dibalik baju yang digayakan.

Seorang pembaca BM yang mengaku sebagai seorang peminat Ayu Raudhah telah melahirkan rasa dukacita terhadap gambar yang Buahmulut paparkan tersebut. Di bawah ini adalah teguran peminat yang diberikan kepada Ayu Raudhah yang dipetik daripada email dan di ubah sedikit agar boleh difahami.

“Hai admin Buahmulut, saya ada ternampak beberapa keping gambar Ayu Raudhah yang pihak tuan upload di portal dan juga Fan Page. Tapi saya macam ternampak sesuatu yang berwarna Pink. Betul ke apa yg saya nmpk tu? ke saya salah pandang. Kalau betullah harap lain kali Ayu Raudhah kena lebih berhati – hati dengan pakaian yang dipakaianya. Nampak macam berpakai & bersarung tapi hakikatnya sama seperti tak bepakaian. mungkin dia tak sedar kot baju macam tu. tapi tu la lain kali kena hati2. jadinya sebagai satu pengajaran. ok 10q”

Bintang Hollywood promosi keindahan Malaysia

ASON Scott Lee ditampilkan buat kali kedua dalam Malaysian Journey.
ASON Scott Lee ditampilkan buat kali kedua dalam Malaysian Journey.
LIMA tahun selepas program pertama diperkenalkan, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia sekali lagi memilih National Geographic Channel (NGC) untuk mempromosikan keajaiban semula jadi negara ini ke serata dunia.

Episod kedua Malaysian Journey with Jason Scott Lee – Rainforests akan disiarkan buat julung kali menerusi saluran berkenaan pada 21 April ini, jam 5.05 petang. Siaran ulangannya pula ke udara pada 26 April, jam 8 malam.
Turut disiarkan ialah episod pertamanya, juga pada 21 April, jam 4.10 petang, manakala siaran ulangan pada 26 April, 7 malam.
Flora dan fauna di Malaysia memang mengagumkan. Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada program ini buat kali kedua, bersama NGC. Penonton di seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan negara ini. - Jason Scott Lee, Pelakon
Pada episod terbaru, fokus rancangan berbentuk dokumentari pengembaraan alam sekitar itu adalah pada keindahan hutan hujan negara ini. Lebih menarik, ia menampilkan bintang aksi terkemuka Hollywood, Jason Scott Lee.

Pemilihan saluran berkenaan tentunya bertepatan dalam usaha lembaga terbabit mempromosikan negara ini sebagai lokasi pilihan utama Asia tenggara dalam pelancongan alam semula jadi.

NGC, yang juga saluran utama bagi genre berbentuk fakta Fox International Channel, yang tersedia di 435 juta kediaman di 173 negara dan disiarkan dalam 37 bahasa menyediakan platform cukup luas, dalam usaha memperkenalkan negara ini ke mata dunia.

Menurut Pengarah dan Ketua Wilayah Malaysia, Fox International Channels, Basil Chua, kerjasama saluran itu bersama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia sekali lagi menghasilkan program istimewa yang tentunya akan mempesonakan penonton NGC di Malaysia dan seluruh dunia.
“Malaysia mempunyai pelbagai keajaiban alam semula jadi dan program terbaru Malaysian Journey ini akan menghibur serta mendidik khalayak merentasi benua. Kami amat berbangga untuk bekerjasama dengan saluran berbayar Astro, yang sudi menayangkan program ini buat julung kami menerusi NGC,” kata Chua.

Program pelancongan itu kali ini akan memberikan perhatian utamanya kepada hutan hujan Malaysia yang cukup dikenali. Rancangan selama sejam itu akan memaparkan Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah, Taman Negara, Tasir Kenyir, Taman Negara Gunung Mulu dan Pusat Perlindungan Beruang Borneo di Sabah.

Buat kali kedua, Lee ditampilkan menerusi rancangan pengembaraan ini, selepas melakukannya buat kali pertama pada 2007. Dalam episod pertama, pakar seni pertahanan diri itu memaparkan catatan pemburuannya bersama suku Semelai di Pahang, sesi belajar silat bersama guru tempatan, kehidupan bersama puak Rungu di Sabah, begitu juga kehidupan bersama kumpulan nelayan di Langkawi.

“Flora dan fauna di Malaysia memang mengagumkan. Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada program ini buat kali kedua, bersama NGC. Penonton di seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan negara ini serta keramahan rakyatnya menerusi Malaysian Journey,” kata Lee.

Lee yang dikenali menerusi lakonannya dalam filem Dragon: The Bruce Lee Story sememangnya lelaki yang amat cintakan alam sekitar dan aktif dalam usaha pemuliharaan.

Dia meninggalkan Hollywood untuk tinggal di ladang ubi keladi seluas 10 hektar di Hawaii. Di sana, dia dapat membuktikan kecintaan kepada alam dengan mengusahakan ladang sayuran dan memakan apa yang ditanamnya.

Khutbah Jumaat: Bencana angkara kerakusan manusia

Elak laksana pembangunan boleh jejas keseimbangan ekologi

SEMPENA sambutan Hari Bumi pada 22 April ini, maka mimbar hari ini memperkatakan khutbah bertajuk 'Bencana Alam Kewajipan Bermuhasabah'.
Ketika ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir besar, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan lain-lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya peringatan daripada Allah SWT kepada makhluknya agar bermuhasabah terhadap diri masing-masing.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40 bermaksud: "Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."
Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan banyak tamadun umat manusia dimusnahkan Allah SWT melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dengan gempa bumi dan kaum Aad pula dilanda ribut taufan tujuh hari, tujuh malam.

Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum itu adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40 bermaksud: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Peringatan ayat Allah SWT ini menjadi pengajaran bagi kita bahawa kekufuran dan perbuatan maksiat akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah SWT.

Setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran berbeza. Pertama: Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain menjadi peringatan bentuk kasih sayang Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya.
Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa adalah azab dan seksa dari Allah di alam ini yang disebabkan kekufuran dan derhaka terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak beriman.

Perlu difahami bahawa bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat.

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bencana alam di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah dan menghargai alam semesta. Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Kerakusan manusia mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian, ada sesetengah pihak melihatnya sebagai satu kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi moden dan kreativiti akal manusia sedangkan ia sebenarnya hanya satu kebodohan yang boleh menyumbang kepada bencana dan kemusnahan alam.

Ini kerana hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali kerana ia saling perlu memerlukan.

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan.

Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha itu perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.

Menjadi kewajipan semua pihak memastikan bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar.

Elakkan daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah tidak terkawal. Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal daripada sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Justeru, marilah kita bersama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara.

Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan.

Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.

Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Araf ayat 97-98 bermaksud:

“Patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”.

Setiap Bulan Amerika Akan Cari Masalah

  • Foto

    LAMAN web menyiarkan laporan akhbar menunjukkan askar Amerika menghina mayat musuh.

  • Foto

    AKHBAR Los Angeles Times menunjukkan askar Amerika bergambar dengan mayat pejuang Taliban.

Askar bergambar dengan mayat Taliban isu terbaru di Afghanistan

KABUL: Gambar anggota tentera Amerika Syarikat menghina mayat musuh mereka diramal mencetuskan protes baru anti Amerika di Afghanistan, selepas akhbar Los Angeles Times (LAT) menyiarkan 18 foto berkenaan menyebabkan pejuang Taliban segera berikrar membalas dendam.
Pada 2012, satu skandal meletus setiap bulan yang menjejaskan hubungan antara Amerika dan kerajaan Afghanistan selain menggugat usaha memerangi Taliban.
Di Barat, ada tanggapan kuat bahawa askar NATO memerangi keganasan selain membantu membina semula Afghanistan. Insiden seperti ini memperkuatkan persoalan apa sebenarnya kita lakukan di sana? - Martine van Bijlert, Pemerhati Rangkaian Penganalisis Afghanistan
Pada Januari lalu, satu video menunjukkan Marin Amerika kencing ke atas mayat Taliban disusuli isu membakar al-Quran pada bulan Februari manakala pada Mac lalu, seorang askar Amerika mengamuk dengan membunuh 17 penduduk di kediaman mangsa.

Pada bulan ini, LAT menyiarkan gambar menunjukkan insiden pada 2010 apabila beberapa askar bergambar dengan mayat musuh, seorang daripadanya meletakkan tangan mayat pada bahunya.

Selain mencetuskan kemarahan tempatan, ia juga menimbulkan desakan baru di negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya mengundurkan askar dari medan perang tidak popular itu.

“Di Barat, ada tanggapan kuat bahawa askar NATO memerangi keganasan selain membantu membina semula Afghanistan. Insiden seperti ini memperkuatkan persoalan apa sebenarnya kita lakukan di sana,” kata pemerhati Rangkaian Penganalisis Afghanistan, Martine van Bijlert.
“Bagi penduduk Afghanistan, ia mengesahkan pandangan tempatan mengenai askar Amerika dan antarabangsa iaitu mereka tidak peduli ataju menghormati mereka,” katanya lagi.

Kejadian berlaku pada Februari 2010 apabila unit payung terjun Divisyen ke-82 Pasukan Tempur Briged ke-2 dihantar ke balai polis wilayah Zabul untuk memeriksa mayat penyerang bunuh diri.

Anggota tentera itu diarah mendapatkan cap jari dan mengimbas mata mayat tetapi sebaliknya mengambil peluang untuk bergambar, lapor LAT.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta berkata, pihak bertanggungjawab akan dihukum tetapi pada masa sama kesal dengan langkah LAT menyiarkan gambar itu sekalipun dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Tetapi, itu tidak lagi penting bagi penduduk Afghanistan seperti Obaidullah, 20, siswazah menganggur di Kabul.

“Tentera Amerika yang bergambar dengan mayat pemberontak menunjukkan mereka tidak datang ke Afghanistan untuk berkhidmat dengan kami. Perbuatan mereka hanya akan memaksa penduduk Afghanistan menentang mereka,” katanya.

“Saya rasa kita perlu tunggu hingga selepas solat Jumaat untuk melihat sejauh mana gambar itu memberi kesan,” kata wakil Kumpulan Krisis Antarabangsa, Candace Rondeaux.

“Saya juga menganggap bahawa apa yang berlaku jelas menunjukkan askar Amerika yang sudah banyak kali bertugas di Iraq dan Afghanistan semakin muak dengan keadaan dan semangat mereka sudah banyak terjejas,” katanya lagi. – AFP

Chong Wei jumpa Zolkples hari ini beri gambaran sebenar

Chong Wei jumpa Zolkples hari ini beri gambaran sebenar

NADA suara Lee Chong Wei kini seperti kesal dengan tindakan tidak hadir ke majlis Anugerah Sukan Negara 2011 tempoh hari yang mengundang pelbagai kritikan dan kecaman.
Semalam, selepas beberapa kali dihubungi dia berkata akan menjelaskan segala kekusutan yang timbul itu dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.
Tunggu esok (hari ini). Saya akan beri penjelasan nanti. - Lee Chong Wei
“Tunggu esok (hari ini). Saya akan beri penjelasan nanti,” katanya ringkas.

Jangan cetus isu remeh boleh jejas semangat Chong Wei

JIKA dia kata sakit, kita perlu hormati dan terima. Jangan pertikai serta sangsi," demikian reaksi Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh berhubung tindakan jaguh perseorangan badminton, Lee Chong Wei yang gagal menghadirkan diri menerima anugerah Olahragawan 2011, Selasa lalu.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu juga meminta isu itu tidak diperbesarkan kerana khuatir ia akan mencetuskan ketegangan tatkala jaguh perseorangan itu akan menjadi sandaran utama menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Olimpik Julai ini.
Kita mempunyai misi lebih besar tidak lama lagi, jadi sebaik-baiknya jangan menimbulkan isu remeh temeh yang boleh menjejaskan semangat dan tumpuan pemain itu menghadapi temasya berprestij berkenaan. - Nadzmi Salleh, Presiden BAM
“Kita mempunyai misi lebih besar tidak lama lagi, jadi sebaik-baiknya jangan menimbulkan isu remeh temeh yang boleh menjejaskan semangat dan tumpuan pemain itu menghadapi temasya berprestij berkenaan,” katanya.

Nadzmi menambah andai wujud kesangsian di kalangan pihak tertentu dengan alasan diberi Chong Wei, beliau menasihatkan pihak berkenaan menyiasat mengenai punca dan motif pemain itu bertindak sedemikian.

“Memang anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi tetapi jika terdapat keraguan ada atlit sengaja tidak mahu datang dengan memberi pelbagai alasan, siasat apa motif dan punca mereka tidak hadir. Mungkin merajuk atau sebagainya,” katanya.

Ketika ditanya adakah Chong Wei ada memaklumkan bahawa dia tidak hadir kepada beliau, Nadzmi berkata: “Dia tidak ada beritahu, saya hanya tahu pada malam itu daripada setiausaha (Ng Chin Chai). Lagipun, saya bukan jaga dia 24 jam,” katanya.
Selasa lalu, kegagalan jaguh perseorangan itu menghadirkan diri menerima anugerah Olahragawan 2011 buat kali ketiga daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mengundang pelbagai spekulasi walaupun dia memberi alasan menghadapi masalah kesihatan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong jelas terkilan dengan tindakan Chong Wei walaupun sehari sebelum majlis itu berlangsung pemain itu sudah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pemain itu membalasnya dengan memberitahu tidak dapat hadir tanpa memberi alasan kukuh.

2 Maut , 9 Cedera Kemalangan Di Kampar

KAMPAR: Dua pekerja kilang maut manakala sembilan cedera termasuk pemandu bas apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 38.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa yang maut Rohani Ramli, 38, berasal dari Taman Mesra Raya, Kampar dan Russiah Md Yusof, 44, berasal dari Kampung Simpang Tiga Sungai Lesung, Ayer Kuning, Kampar.
Kedua-dua mangsa pekerja kilang elektronik Unisem di Simpang Pulai.
“Rohani yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kemalangan dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala Russiah yang juga cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Raja Permasuri Bainun pagi ini ketika sedang dirawat,” katanya di sini, hari ini.

Aziz berkata, sembilan lagi penumpang termasuk pemandu bas kilang yang mengalami kecederaan turut dirawat di Hospital Kampar.

Beliau berkata, nahas berlaku jam 8 malam tadi ketika bas kilang itu yang membawa sepuluh penumpang dari sebuah kilang di Simpang Pulai menuju ke Teluk Intan apabila dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah treler membawa muatan sarung tangan getah dari arah bertentangan.

“Ketika kemalangan treler berkenaan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan dipercayai melanggar isyarat lampu merah,” katanya.
Akibat nahas itu bahagian tengah bas berkenaan remuk teruk dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kemalangan untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Pemandu treler berusia 64 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu,” katanya. - BERNAMA
 
© Berita Harian Metro Online All Rights Reserved